Thailand jadi mangsa Malaysia di Shenzhen

Thailand jadi mangsa Malaysia di Shenzhen

SHENZHEN – Skuad bola sepak negara mencatat kemenangan tipis 5-4 ke atas Thailand menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi penentuan tempat kesembilan hingga ke-16 pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2011.

Kemenangan tersebut telah menghidupkan semula peluang skuad bimbingan Aminuddin Hussin itu untuk memperbaiki kedudukan selepas menghuni tempat ke-12 di Bangkok, Thailand pada tahun 2009.

Selepas ini, skuad negara akan beraksi pada perlawanan penentuan tempat kesembilan hingga ke-12 yang akan berlangsung esok.

Pada perlawanan di Stadium Sekolah Sukan Shenzhen petang semalam, kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga 90 minit permainan sebenar sebelum kemenangan ditentukan menerusi sepakan penalti.

Penjaga gol, Norhadi Ubaidullah muncul wira selepas berjaya menepis keluar sepakan penalti yang diambil pemain pertahanan Thailand, Sathaporn Daengsee untuk memberi kelebihan kepada skuad negara.

Terdahulu, kurang persefahaman di posisi pertahanan yang dipimpin pemain Liga Super Selangor, Mohd. Bunyamin Umar akhirnya membawa padah apabila pintu gol skuad negara dibolosi pada minit ke-29 menerusi Pathomchai Seaisakul.

Bagaimanapun, Thailand yang beraksi dengan 10 pemain pada awal babak kedua menampilkan corak permainan yang agak keras sepanjang baki 40 minit dalam usaha mengkucar-kacirkan corak permainan Malaysia.

Pengadil Jungfang Kao dari Taiwan terpaksa melayangkan kad merah kepada pemain Thailand, Adisak Kanu selepas dia dilihat menyiku Aman Fareez Mohd. Ali yang turut dilayangkan kad kuning.

Namun, situasi itu tidak menjejaskan fokus para pemain Malaysia yang bersemangat untuk mencari gol penyamaan.

Pada minit ke-61, skuad negara hampir memperoleh gol tetapi dipersia-siakan jentera serangan yang diketuai K. Reuben tetapi dia berjaya menebus kesilapan itu dengan menyumbat gol penyamaan pada minit ke-74.

Kemenangan ini turut mengesahkan slot skuad negara ke Universiade 2013 di Kazan, Rusia.

Thailand, jadi, mangsa, Malaysia, Shenzhen, Skuad, bola sepak, negara, kemenangan, Thailand, menerusi, sepakan, penalti, kesembilan, Sukan, Universiti, Dunia, Universiade,  bimbingan Aminuddin, Hussin, Bangkok, Thailand, perlawanan, Stadium, Shenzhen, terikat, permainan, sebenar, kemenangan, menerusi, sepakan, penalti, Penjaga, gol, Norhadi Ubaidullah, Sathaporn Daengsee, skuad, negara, K. Reuben, gol, penyamaan, slot, skuad negara, Universiade, Kazan, Rusia