Dalglish yakin Liverpool bangkit

Dalglish yakin Liverpool bangkit

LIVERPOOL – Kenny Dalglish percaya perbelanjaan 44 juta pound (RM214 juta) ke atas Stewart Downing, Charlie Adam dan Jordan Henderson mampu mencetuskan era baru Liverpool selepas menyaksikan Manchester United menjulang rekod kejuaraan liga kali ke-19, musim lepas.

Dalglish berjaya membawa gergasi Anfield itu menghuni tangga keenam, selepas menggantikan Roy Hodgson dan kini dia memasang hajat untuk meneraju pasukannya yang direkrut bagi memberi cabaran sengit musim baru ini.

Liverpool memulakan kempen Liga Perdana, hari ini di gelanggang sendiri apabila mereka bakal melayan kunjungan Sunderland iaitu bekas kelab Henderson.

Namun, Reds bakal beraksi tanpa kapten, Steven Gerrard yang diketepikan sehingga bulan depan kerana mengalami masalah jangkitan pada pangkal pahanya.

Ketiadaan Gerrard, bakal digalas beberapa pemain baru yang diletakkan harapan oleh para peminat setelah dua musim kecewa ekoran prestasi hambar Liverpool.

“Kami mahu meningkatkan kekuatan skuad pada musim panas ini dan kami rasa yang kami telah pun melakukannya dengan membawa masuk beberapa pemain yang kami mahukan.

“Kami mahu bersaing di peringkat tertinggi dan kami berasakan yang para pemain mampu membantu merealisasikan impian kelab ini,” kata Dalglish.

Dalglish turut mengintai gandingan penyerang England, Andy Carroll dan bintang Uruguay, Luis Suarez mempamerkan aksi menyengat selepas bekas pemain Newcastle itu pulih daripada kecederaan yang membelenggunya, musim lepas.

Carroll kelihatan tajam pada aksi pra musim, apabila pemain itu meledakkan tiga gol dalam enam penampilannya.

“Kecederaan Andy telah membataskan aksinya pada musim lalu. Dia masih tetap bermain dalam beberapa perlawanan, walaupun kami sedar yang dia tidak berada pada prestasi terbaiknya.

“Kini dia telah melepasi tempoh kesukaran itu dan sudah boleh mengikuti sesi latihan pra-musim seperti pemain lain. Ini dapat dibuktikan ketika dia beraksi dalam beberapa perlawanan sejak beberapa minggu lalu. Dia kini cergas dan menjaringkan beberapa gol,” kata Dalglish.

Selain Gerrard, Liverpool juga akan memulakan musim baru tanpa Glen Johnson dan Martin Skrtel yang cedera, sementara Suarez dijangka akan direhatkan selepas membantu Uruguay menjulang kejuaraan Copa America.

Pengurus Sunderland, Steve Bruce yang membawa pasukannya menghuni tangga ke-10 musim lepas, turut sibuk dalam pasaran perpindahan di mana dia membawa masuk gandingan pemain pertahanan berpengalaman, John O’Shea dan Wes Brown yang dibeli dengan harga 6 juta pound (RM29 juta) dari Manchester United.

Harapan besar turut diletakkan di atas bahu penyerang muda England, Connor Wickham, yang ditandatangani dari kelab Liga Kejuaraan, Ipswich dengan harga 8 juta pound (RM38.9 juta).

O’Shea dijangka terlepas perlawanan, Sabtu ini kerana masalah ketegangan pada pelipat lutut dan ini bermakna Anton Ferdinand bakal beraksi di samping Brown.

“Musim panas ini memberi peluang kepada kami mendapatkan pemain seperti John O’Shea dan Wes Brown yang pernah bermain dalam 750 perlawanan di Manchester United.

“Ia bukan sekadar keupayaan mereka, tetapi sikap dan mentaliti yang sentiasa mahukan kemenangan itu yang penting. Saya tidak fikir, tiga atau empat tahun lalu, kami mampu membawa masuk pemain-pemain seperti ini bermain bersama kami,” kata Bruce.

Dalglish, liverpool, yakin, dalglish yakin, yakin liverpool, bangkit, liverpool bangkit, sukan, luar, negara, luar negara, malaysia, sukan luar, yang, utusan malaysia, Kenny, Dalglish, Stewart, Downing, Charlie Adam, Jordan Henderson, era baru Liverpool, Manchester United, menjulang rekod, kejuaraan,liga kali, musim lepas, Dalglish, gergasi, Anfield, Roy Hodgson, pasukan, Liverpool, England, Andy Carroll, Sunderland, Steve Bruce, John O’Shea, Wes Brown, juta, pound, Manchester United