Capello dihantui masalah baharu

Capello dihantui masalah baharu

LONDON – Fabio Capello memulakan penggal terakhirnya selaku jurulatih England dengan menghadapi masalah di bahagian tengah menjelang aksi persahabatan menentang Belanda di Stadium Wembley pada awal pagi Khamis ini.

Capello yang membayangkan dirinya bakal bersara selepas tamat saingan Euro 2012, berharap dapat menamatkan kariernya dengan nota terpuji, tetapi kini sekali lagi berdepan masalah tidak diduga.

Dengan tiga tonggak jentera tengahnya, Steven Gerrard, Jack Wilshere dan Theo Walcott – kesemuanya masih cedera, Capello turut tidak dapat memanggil Joey Barton yang masih perlu menyelesaikan masalahnya dengan Newcastle United.

Masalah yang tidak dijangka sering dialami Capello sepanjang mengendali skuad England termasuk isu-isu di luar padang seperti skandal seks John Terry yang memaksa dia menggantung sementara tugas ketua pasukan kepada pemain pertahanan Chelsea itu.

“Barton tetap seorang pemain yang bagus. Tapi buat ketika ini, ia bukanlah masa terbaik untuk menilai dirinya.

“Apabila seseorang pemain bertelagah dengan kelabnya, ia sesuatu yang normal pemain itu akan disisihkan. Hubungan kelab dengan pemain cukup penting,” kata Capello.

Hal yang sama turut dihadapi Capello berhubung Scott Parker yang merupakan pemain utama skuad England musim lalu, tetapi kini kelabnya, West Ham sudah tersingkir ke Liga Kejuaraan.

Arsenal, Chelsea dan Tottenham Hotspur dikaitkan dengan Parker, tetapi setakat ini dia masih kekal di Upton Park.

“Saya akan ke West Ham untuk melihat aksinya dan menyemak apa yang patut. Adalah penting untuk dia beraksi dalam saingan Liga Perdana England,” jelas Capello.