All Blacks aibkan gergasi Asia

All Blacks aibkan gergasi Asia

HAMILTON – New Zealand memalukan Jepun dengan melakar kemenangan berat sebelah 83-7 dalam perlawanan yang bertukar mimpi ngeri buat gergasi ragbi Asia itu pada Piala Dunia, semalam.

Turun tanpa tiga tonggak utama yang cedera termasuk kapten, Richie McCaw, Dan Carter dan Mils Muliania, All Blacks masih mampu memperoleh 13 try, iaitu purata satu try dalam setiap enam minit untuk mengimbas memori di Bloemfontein 1995, apabila mereka menang besar 145-17 ke atas lawan yang sama.

Keputusan di Stadium Waikato yang penuh sesak semalam merupakan kekalahan terbesar pernah diterima mana-mana pasukan pada Piala Dunia setakat ini, sekali gus menyerlahkan jurang di antara pasukan gergasi dengan negara kerdil.

“Perkara paling penting buat kami dalam perlawanan ini adalah untuk meningkatkan prestasi dan memastikan struktur permainan kami betul.

“Biarpun menang besar hari ini, namun kami masih perlu memperbaiki beberapa aspek kerana minggu depan kami bakal berdepan satu tugas yang lebih getir (menentang Perancis),” kata ketua pasukan All Blacks, Keven Mealamu.

Dalam perlawanan semalam, Richard Kahui dan pemain sayap gantian, Sonny Bill Williams masing-masing memperoleh dua try.

Begitupun, All Blacks tidak terlalu ghairah untuk mencari mata pada awal permainan, dan hanya mula bertindak garang pada 50 minit terakhir, tempoh di mana mereka memperoleh 10 daripada 13 try.

Jurulatih All Blacks, Graham Henry berkata: “Kami bermula perlahan tetapi menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding minggu lalu.”

All Blacks, gergasi, Asia, HAMILTON, New Zealand, Jepun, melakar, kemenangan, berat, perlawana bertukar, mimpi, ngeri, gergasi, ragbi, Asia, Piala Dunia, semalam, Turun, tiga, tonggak, utama, termasuk, kapten, Richie McCaw, Carter, Mils Muliania, All Blacks, try, purata, satu, enam,  mengimbas, memori, Bloemfontein, menang, besar, lawan